Tuesday, March 2, 2010

Mutiara Iman Edisi 762 ( Tidak Perlu Kita Sedih )

(EDISI 762)

MUTIARA IMAN:

TIDAK PERLU KITA SEDIH

اللهم إنا نعوذبك من الهم والحزن

“YA ALLAH YA Tuhan kami, kami berlindung daripadamu dari rasa sedih dan gelisah” ( Riwayat Abu Daud)

Ulasan Hadis:

1.        Mengapa kita perlu bersedih dengan kekecewaan kita terhadap dunia dan makhluk? Sedangkan ianya sedikitpun tidak memberi sebarang kesan kepada kita ketika di akhirat nanti.

2.        Manusia semuanya memahami bahawa umur dunia itu singkat, harta dunia sangat sedikit, perubahan dunia dan perlakuan seluruh isi dunia termasuk makhluknya berubah dari masa ke semasa, pergerakkan yang berlaku tidak pernah berhenti walaupun sedetik.

3.        Oleh itu, mengapa kita harus bersedih, jika hari ini kita tenang lalu bertukar merasa resah, jika hati sedang bahagia lalu berubah sedih, dari merasa senang bertukar susah, begitu jua sebaliknya. Keadaan ini adalah putaran dan mainan sementara sahaja, sedikitpun tidak seharusnya menjadikan kita seorang yang berputus asa dengan keburukan menimpa ataupun berbangga dengan kebaikan mendatang, kerana semuanya hanyalah ujian yang sangat bersifat sebentar untuk memberi jaminan yang pasti diakhirat kelak.

4.        Andai kita sibuk memikirkan apa yang sedang kita hajati samada ianya sesuatu yang gembira mahupun duka lebih daripada apa yang ALLAH hajati daripada kita, nescaya gelaplah hati kita, butalah mata kita, lemahlah iman kita, resahlah jiwa kita sehinggalah kita berjaya mengecilkan kehendak kita lalu membesarkan apa yang ALLAH kehendaki.

5.        Kalau pada hari ini jika di dunia kita sibuk dengan diri, nescaya di akhirat nanti kita akan sibuk dengan diri, tetapi jika hari ini kita sibuk dengan ALLAH, maka di sana kelak, kita akan sibuk dengan ALLAH.

6.        Sibuk dengan ALLAH- Sentiasa menyibukkan diri dan urusan, amalan yang mendekatkan diri kepada ALLAH, seperti beribadah, bersedekah, berdakwah dan sebagainya.

7.        Tidak perlu kita bersedih lagi, bertindaklah, bermulalah, berazamlah untuk beramal, berdakwah dan bersiap sedia sebelum terlambat. Wahai ALLAH, jangan jadikan hati kami sedih kerana cintakan dunia dan bencikan kematian. WALLAHU’ALAM.

No comments:

Post a Comment