Tuesday, March 2, 2010

Mutiara Iman Edisi 760 ( Kebahgiaan Dalam Kerja )

(EDISI 760)

MUTIARA IMAN:

KEBAHGIAAN DALAM KERJA

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud : "Katakan Muhammad! Bekerjalah, akan dilihat (dinilai)  oleh ALLAH hasil kerjamu itu, dan oleh Rasul dan oleh orang yang beriman

)Surah Taubah : 106)

Ulasan Ayat:

  1. Kebahagiaan kita bergantung kepada sejauh mana kita mencintai urusan pekerjaan kita dalam seharian, tidak kiralah ianya urusan ibadah khusus ataupun sebaliknya.
  2. Sekiranya umur seseorang itu dipanjangkan Allah swt sehingga mencecah 63 tahun, maka majoritinya mereka menggunakan tiga puluh tahun atau lebih untuk bekerja iaitu selama lapan jam sehari. Oleh yang demikian adalah salah sekiranya kita berpegang kepada hakikat bahawa pekerjaan merupakan beban yang diberikan oleh Allah swt kepada manusia. Ianya adalah peluang untuk kita menjana ganjaran pahala dari Allah swt sekiranya pekerjaan tersebut menepati prinsip-prinsip Islam.
  3. Terdapat bukti yang jelas bahawa manusia memerlukan pekerjaan, malah pekerjaan merupakan salah satu aktiviti yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Sejak dari Nabi Adam as hingga ke zaman kini, manusia menjadikan pekerjaan sebagai sebahagian besar daripada pusingan hidup mereka. Sememangnya pekerjaan menjadi gelanggang tempat manusia berjuang dan bersaing sebagai salah satu proses memajukan diri dan menyambung usia dalam kehidupan.
  4. Islam menekankan bahawa pengendalian sesuatu kerja sama ada kecil atau besar, berat atau ringan mestilah meletakkan ALLAH RABBUL ALAMIIN sebagai asas kesempurnaan. Ini berasaskan kepada kehendak semulajadi insan itu sendiri seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud : "Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk (menyembah) beribadah kepadaku.
  5. Cinta kepada setiap urusan pula bergantung kepada sejauhmana kita meletakkan niat untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan itu, apalagi jika kita melakukan sesuatu yang ALLAH amanahkan.
  6. Penegasan Islam tentang pentingnya pekerjaan dapat dilihat dalam al-Quran dan Hadith-hadith Rasulullah SAW yang akan dijadikan landasan perbincangan dalam bab ini. Menurut penjelasan Sunnah Rasulullah SAW bahawa kesemua para Nabi biarpun tinggi darjat mereka, mereka telah menjadikan pekerjaan sebagai landasan hidup masing-masing. Nabi Adam AS telah mengambil bahagian dalam pertanian, Nabi Nuh dalam perniagaan, Nabi Daud dalam pertukangan besi, Nabi Musa dalam penulisan, Nabi Zakaria sebagai seorang tukang kayu dan begitulah juga para Nabi selain mereka.
  7. Islam mewajibkan setiap muslim bekerja untuk menghasilkan manfaat pada dirinya sendiri dan masyarakat. Walaupun kita merasa susah dan berat untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan itu, tetapi jika perlaksanaannya dilakukan kerana ALLAH, maka kita akan melakukannya dengan senang hati. WALLAHU’ALAM

No comments:

Post a Comment