Wednesday, March 10, 2010

Mutiara Iman Edisi 770 ( Kemanisan Iman )


(EDISI 770)

MUTIARA IMAN:

KEMANISAN IMAN

عن عباس ابن عبد المطلب رضى الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ذاق طعم الإيمان من رضي بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد رسولا
(رواه مسلم)
Daripada Al Abbas bin Abd Mutallib RA, Rasulullah SAW bersabda : Siapa yang reda dengan ALLAH sebagai Tuhan, ISLAM sebagai agama dan MUHAMMAD sebagai Rasul, maka dia dapat merasa dan manikmati kemanisan iman .”
 ( Riwayat Muslim)


Ulasan Hadis:
1.        Hadis ini dipetik daripada kitab Al Iman. Di dalam hadis ini ia menggambarkan betapa indahnya sifat iman. 

2.        Iman dari segi bahasa adalah percaya dan membenarkan. Manakala Iman menurut istilah syarak ialah : Percaya dan membenarkan dengan hati, melaksanakannya dengan perbuatan dan menuturkan dengan lisan terhadap segala yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW. 

3.        Iman menurut Ahlussunnah wal jama’ah adalah keyakinan dengan hati pengikraran dengan lisan serta pengamalan dengan anggota badan. Iman bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan perbuatan maksiat.
 
4.        Jadi Iman terdiri dari tiga bagian: Pertama keyakinan hati dan amalan hati yakni keyakinan dan pembenaran terhadap apa yang datang dari  dan RasulNya. Amalan hati di antaranya adalah niat yang benar ikhlas cinta tunduk kepada ALLAH dan RASUL. Kedua ikrar lisan dan amalan lisan . Ikrar lisan iaitu mengucapkan dua kalimat syahadat dan mengakui dari kedua kalimat Syahadah. Ketiga amalan anggota badan iaitu sesuatu amalan yang terlaksana dengan anggota badan seperti rukuk sujud jihad haji dan lain-lain. 

5.        Keimanan tidak mampu dikecapi kemanisannya jika manusia hanya mengakuinya melalui lisan tanpa membuktikannya melalui perbuatan. Oleh itu, pada hari ini betapa ramai ummat islam yang hanya mengaku beriman tetapi masih lagi menentang dan tidak mahu menuruti segala ajaran Islam. 

6.        Beruntunglah bagi mereka yang benar-benar beriman, malah berbahagialah mereka yang mengecapi kemanisan iman, kerana nikmat keimanan tidak mampu ditukar ganti dengan segala sesuatu yang ada di dunia ini. Sesungguhnya Iman merupakan hiburan dan kegirangan yang tidak terperi bagi orang-orang yang merasai kemanisannya.WALLAHU’ALAM

Friday, March 5, 2010

Mutiara Iman Edisi 769 ( Gopoh-Gapah Sifat Syaitan )


 (EDISI 769)

MUTIARA IMAN:

GOPOH-GAPAH SIFAT SYAITAN

عن سهل بن سعد رضى الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : العجلة من الشيطان
 ( رواه الترمذى)
Daripada Sahl Bin Sa’ad RA, Rasulullah SAW bersabda : “ Gopoh-gapah itu merupakan sifat syaitan.”
(Riwayat Tirmizi)

Ulasan Hadis:
1.        Melalui hadis ini Nabi SAW menjelaskan kepada kita bahawa sikap gopoh gapah atau tergesa-gesa, terburu-buru adalah daripada sifat syaitan. 

2.        Sifat bergopoh-gapah adalah sifat yang buruk, sikap ini berlaku apabila seseorang itu berada dalam beberapa keadaan, iaitu tidak sabar, tamak, tidak mahu berfikir panjang, menanguh kerja dan bertindak kerana mengikut nafsu. 

3.        Orang yang memiliki sikap ini kebiasaannya mereka yang tiada ketenangan dalam diri. Dan sifat ini berlawanan dengan sifat orang yang bertenang dalam melakukan sesuatu urusan, mereka ini bertindak setelah berfikir dan mengkaji terlebih dahulu malah memikirkan akibat baik dan buruk sesuatu perkara atau tindakannya. 

4.        Sikap gopoh gapah akan melahirkan penyesalan di kemudian hari. Berkata Syeikh Muhammad Soleh Al Uthmaimin : Sifat tenang yakni tidak bergopoh –gapah dalam semua urusan, betapa ramai manusia yang binasa dan tersilap langkah dengan sebab gopoh-gapah dalam urusan hidup mereka. Sama ada memindahkan berita, menghukum apa yang di dengar atau berita lain-lain. 

5.        Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Sesungguhnya sesiapa yang memiliki dua sifat, nescaya dikasihi oleh ALLAH iaitu lemah lembut dan tenang.” ( Riwayat Muslim). 

6.        Justeru itu, kita hendaklah sentiasa bersikap tenang dan berusaha mendidik diri agar tidak besikap tergesa-gesa, jangan terlalu cepat mengambil keputusan atau bertindak sehinggalah kita meneliti dan mempelajari terlebih dahulu sesuatu perkara. WALLAHU’ALAM

Wednesday, March 3, 2010

Mutiara Iman Edisi 767 ( Bekerja Bersama Pimpinan)



(EDISI 767)

MUTIARA IMAN:

BEKERJA BERSAMA PIMPINAN
Sabda Rasulullah S.A.W. :
Maksudnya : Tiada seorang ketua yang memimpin orang bawahannya dari kalangan Muslimin kemudian dia tidak berusaha bersungguh untuk kebajikan mereka dan tidak memberi nasihat (kepada Islam), kecuali pemimpin ini tidak memasuki syurga
(Riwayat Muslim)

Ulasan Hadis: 

1.        Hadis di atas menerangkan mengenai peranan yang perlu dimainkan seseorang pemimpin terhadap orang yang berada di bawahnya atau di dalam tanggungannya. 

2.        Mereka bukan sekadar memimpin sebagai ketua organisasi atau ketua keluarga, malah lebih penting lagi adalah bersungguh dalam memberikan nasihat dan membimbing orang bawahannya kepada ajaran Islam yang sebenar. 

3.        Dinyatakan bahawa orang yang tidak memimpin anak buahnya ke arah jalan yang diredhai Allah, tempatnya nanti bukan di syurga malah sebaliknya. 

4.        Namun begitu, tugas menasihati antara satu sama lain tidak perlu diterhad dan dibebankan di atas bahu pemimpin semata-mata. Sebagai warga kerja dan ahli keluarga yang bertanggungjawab dan memahami tuntutan  serta kehendak agama, seharusnya peranan seperti ini dipikul bersama  agar ia memberikan natijah yang lebih baik daripada melaksanakannya secara bersendirian.

5.         Pemimpin yang baik dijanjikan Allah swt sebagai VVIP di Mahsyar iaitu bernaung dibawah lindungan bayangan arasy Allah swt di mana hari yang tidak ada bayangan (akhirat) kecuali bayangan arash Allah. 

6.         Kita tidak mungkin mampu menjadi Rasul atau Nabi demi mendapatkan bayangan arasy Allah swt tetapi kita juga berpeluang untuk bersama para Rasul & Nabi salawatullah alahim ajma’in di bawah bayangan arasy Allah swt dengan menjadi pemimpin yang baik. Marilah kita semua merebut peluang ini kerana kita semua adalah pemimpin.

Mutiara iman : Edisi 456 (Teruskan Usaha )

(EDISI 456)

MUTIARA IMAN:

TERUSKAN USAHA...

Firman Allah S.W.T . :

Maksudnya : Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya Bunyamin, dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.
(Surah Yusuf : Ayat 87)

Ulasan Ayat :

1) Ayat di atas mengingatkan kita agar tidak mudah berputus asa dalam melakukan sesuatu perkara sama ada perkara tersebut baik atau tidak baik untuk diri kita.

2) Dalam kisah di atas, Nabi Ya'akub menasihati anak-anaknya supaya mencari petunjuk tentang Nabi Yusuf dan adiknya Bunyamin yang hilang selain tidak berputus asa serta menggantungkan sepenuhnya pengharapan hanya pada Allah s.w.t.

3) Justeru, jika kita ditimpa musibah atau sesuatu perkara yang tidak baik, janganlah kita mudah berputus asa, malah sentiasalah memohon rahmat dan pertolongan daripada Allah s.w.t.

4) Yakinlah, Allah tidak akan sekali-kali menzalimi hamba-hambaNya jika kita benar-benar beriman kepadaNya.

Wallahua'lam.

Tuesday, March 2, 2010

Mutiara Iman Edisi 766 ( Kelahiran Termulia )

(EDISI 766)

MUTIARA IMAN:

KELAHIRAN TERMULIA

إِنَّ ٱللَّهَ وَملائِكته يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـاأَيّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيهِ وَسَلِّمُواْ تَسلِيمًا

"Sesungguhnya ALLAH dan para Malaikat berselawat keatas NABi, wahai orang-orang yang beriman ! berselawatlah kamu dan berilah salam keatasnya"
(Al-Ahzab:56).
 
Ulasan Hadis:
1.        Sebuah kota yang panas dan tandus yang dipenuhi dengan penyembahan terhadap kayu-kayu dan batu-batu, iaitulah kota Mekah. Lahirlah seorang bayi mulia, kelahirannya telah melenyapkan segala legelapan, kezaliman, kesesatan. Kelahirannya amat luar biasa, lahir dari rahim seorang wanita solehah terpancar cahaya yang amat terang. 

2.        Bulan ini kita mengenang dan mensyukuri kembali peristiwa kelahiran itu. Kelahiran yang mengakibatkan terpadamnya api sembahan di biara-biara Majusi, menggoncangkan istana-istana kisra Parsi serta meruntuhkan puluhan gereja di Buhairah. Kelahiran yang disambut gembira oleh seluruh makhluk ALLAH di langit dan di bumi. Sudah seimbangkah kesyukuran dan kegembiraan kita terhadap kelahiran NABI SAW dengan kegembiraan Abu Lahab? Sedangkan dia yang namanya dikutuk ALLAH sampai kiamat dalam surah Al-Lahab pernah juga gembira mendengar kelahiran RASULULLAH SAW. Sehingga dia membebaskanTsuwaibah budak perempuan yang menyampaikan berita itu dimerdekakannya serta merta. 

3.        Adakah lagi kegembiraan dan kesyukuran yang lebih tinggi daripada kelahiran MUHAMMAD BIN ABDULLAH? Dengan terciptanya BAGINDA kita semua mendapat keimanan, keamanan, kesenangan. Tanpa Baginda sudah tentu kita masih berada di dalam kejahilan dan kegelapan. 

4.        Memperingati kelahiran RASULULLAH SAW akan membuatkan hati kita tergerak untuk berselawat keatas NABI SAW dan memuji Baginda yang merupakan satu perkara yang diarahkan oleh ALLAH di dalam ayat diatas. 

5.        Suruhan itu pula dinyatakan dalam keadaan jamak (ramai - 'plural') didalam kaedah nahu bahasa Arab: ALLAH dan MalaikatNya berselawat dan memuji NABI - didalam satu perkumpulan yang ramai. Adalah tidak benar sama sekali untuk menyatakan bahawa selawat keatas NABI SAW hanya boleh dilakukan secara bersendirian. 

6.        Apabila ini kita lakukan, ALLAH akan redha pada kita, kerana kita akan lebih berusaha untuk mengetahui sirah Baginda dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlak Baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya, kenapa sambutan hari lahir Baginda merupakan satu rahmat buat kita semua. 

7.        Selamat beribadah...dengan memperbanyakkan selawat salam buat RASUL JUNJUNGAN kita...WALLAHU’ALAM

Mutiara Iman Edisi 765 (Adakah Kita Mencintai Rasulullah SAW?)


(EDISI 765)

MUTIARA IMAN:

ADAKAH KITA MENCINTAI RASULULLAH SAW?
Firman ALLAH SWT : “ Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada ALLAH dan RasulNya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang kafir” .
(Surah Ali-Imran : 33)
 
Ulasan Ayat:
1.        ALLAH SWT memerintahkan kepada kita supaya mentaati Rasulullah SAW, dan tidak menderhaka kepada Baginda dan kita akan dicintai oleh ALLAH SWT. 

2.        Kita hendaklah mentaati Rasulullah SAW dalam semua sudut dan mencintai Baginda lebih daripada mencintai diri sendiri dan segalanya. 

3          Dengan mencintai Baginda SAW, maka kita akan dicintai oleh ALLAH SWT. 

4.        ALLAH SWT meletakkan Rasulullah SAW sebagai KekasihNya. Maka secara adatNya, apabila kita berkasih, sudah tentu kita akan turut mengasihi siapa yang mengasihi dan berbuat baik terhadap kekasih kita, sekalipun kita tidak meletakkan kasih padanya. Justeru, begitulah keadaanya dengan kita selaku ummat Muhammad, mengasihi Baginda SAW akan menarik pandangan ALLAH untuk dikasihiNya. 

5.        Sesungguhnya kita tidak mampu meraih kasih dan cinta ALLAH jika sekiranya kita tidak menaruh kasih dan cinta kita terhadap KekasihNya Muhammad Bin Abdullah terlebih dahulu. 

6.        Mereka yang mendapat cinta ALLAH, adalah mereka yang telah mencintai  Baginda SAW melebihi segalanya. Beberapa buah kisah Salafussoleh yang boleh dijadikan muhasabah kita bersama sejauhmanakah kita mencintai Rasulullah SAW:
 
7.        Kisah pertama: Imam Malik RA pernah bertemu Ayyub al-Sakhtiyani, seorang perawi hadith yang masyhur, katanya: “Apabila disebutkan Nabi SAW, beliau akan menangis sehingga aku berasa kasihan terhadapnya”. 

8.        Kisah kedua: Diceritakan pula, Abdul Rahman bin Al-Qasim apabila menyebut Nabi SAW, lalu kami lihat kepada warna rupanya seolah-olah telah keluar darah daripadanya (kerana pucat lesi), dan lidahnya menjadi kering dan kelu di dalam mulutnya kerana merasakan kehebatan Rasulullah SAW. 

9.        Kisah ketiga : Ja‘far bin Muhammad - al-Sadiq dan beliau seorang yang banyak bergurau dan tersenyum, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, rupa beliau akan berubah menjadi kekuningan (kerana pucat), dan tidak pernah dilihat beliau meriwayatkan hadith dari Rasulullah SAW melainkan dalam keadaan bersuci.
 
10.        Lalu di kedudukan manakah kita meletakkan Rasulullah di hati kita jika nak dibandingkan dengan Para Salafussoleh ini…wahai ummat Muhammad? Bila nama Baginda disebut kita boleh berketawa, bila dibacakan hadisnya kita bersahaja, bila disuruh melakukan perintahnya kita masih malas melaksanakannya malah kita melakukan segala yang dibenci, teganya hati kami melukakan hatiMU ya RASULALLAH  ....WALLAHU’ALAM.

Mutiara Iman Edisi 764 ( Kenapa Mesti Membazir Ketika Berwudhu? )


(EDISI 764)

MUTIARA IMAN:

KENAPA MESTI MEMBAZIR KETIKA BERWUDUK?


Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melewati Saad yang sedang berwudhu, lalu Baginda SAW bertanya, "Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini wahai Saad?" Saad bertanya:" Apakah di dalam wudhu juga ada istilah berlebih-lebihan?" Baginda SAW menjawab, " Benar, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir (Riwayat Ahmad)
 
Ulasan Hadis:
1.        Melalui hadis ini, jelas kepada kita bahawa Rasulullah SAW melarang daripada melakukan pembaziran ketika berwuduk. Bagaimana pembaziran yang dimaksudkan di dalam berwuduk?
 
2.        Kebanyakan daripada kita selalu buka pili laju2 ketika ambil wuduk, sehingga basah pakaian, sepatutnya kita hendaklah mengelakkan pembaziran. Buka air perlahan ketika mengambil wuduk dan insyaALLAH boleh sempurna. Jangan membazir kerana membazir itu amalan syaitan!
 
3.        Sebenarnya kerana kejahilan, kita tidak rasa kita sedang melakukan dosa. Dosa membazir, ALLAH sudah menyatakan dalam Al-Quran. Membazir itu saudara syaitan. Hamba ALLAH yang membazir termasuk melakukan dosa kerana membazir dan ia sudah pasti menjejaskan tumpuan dan khusyuk ketika solat. Kerana solat yang khusyuk itu bermula daripada keadaan wuduk yang dilakukan dengan baik.
 
4.        Wuduk sebenarnya untuk membersihkan rohani serta jasmani tetapi jika ketika membersih dalam masa yang sama 'mengotorkan' dengan amalan pembaziran dibimbangi akan mengganggu kualiti solat. Kemungkinan antara penyebab kita solat tetapi masih lagi tidak berubah kepada kebaikan adalah kerana perbuatan ini.
 
5.        Sebagaimana yang kita sedia maklum Islam melarang keras umatnya mengamalkan cara hidup membazir dalam semua urusan yang berkaitan dengan penggunaan air, perbelanjaan harta, pengurusan masa dan penggunaan tenaga. Perbuatan membazir adalah tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak. 

6.        Secara tidak langsung kita telah menggunakan rezki yang datang daripada ALLAH SWT ini secara tidak wajar dan bukan pada tempat yang sepetutnya. 

7.        Justeru, kita hendaklah memerhatikan setiap perbuatan kita, jangan sampai perkara pahala bertukar menjadi haram disebabkan kelalaian kita terhadap urusan agama. WALLAHU’ALAM.

Mutiara Iman Edisi 763 ( Rasulullah SAW Rahmat Agung Buat Kita )


(EDISI 763)

MUTIARA IMAN:
 


RASULULLAH SAW RAHMAT AGUNG BUAT KITA
Firman ALLAH SWT : “Katakanlah (wahai Muhammad): Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia ALLAH dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya) kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal).diatas nikmat dan rahmat daripada ALLAH, biarlah mereka bergembira" (Yunus:58)

Ulasan Ayat:
1.        Perintah ini datang kerana kegembiraan menjadikan hati rasa bersyukur diatas rahmat ALLAH. Rahmat apakah lagi yang lebih besar selain Rasulullah SAW sendiri. dan ALLAH berfirman, “Kami tidak menurunkan kamu melainkan sebagai rahmat kepada seluruh manusia.' (Surah Al-Anbiya':107) 

2.        Bersempena hari kelahiran Rasulullah SAW yang bakal menjelang, kerana Rasulullah SAW diutus sebagai rahmat untuk semua manusia, kegembiraan menyambut kelahiran baginda tidak tertakluk pada yang Muslim sahaja, bahkan seluruh manusia, sepatutnya melahirkan rasa kegembiraan tersebut. 

3.        Sejurus dengan itu, marilah kita bersama-sama memperbanyakkan selawat salam buat Baginda SAW, serta menghidupkan sunnah-sunnah Baginda, di saat manusia melupakannya. 

4.        Sesungguhnya semakin banyak kita menjunjung segala suruhan, dan meninggalkan larangan Baginda lalu kita semaikan segala yang diajarkan oleh Baginda melalui sunnah-sunnahNya, maka akan semakin tinggilah kedudukan Baginda di sisi ALLAH SWT. WALLAHU’ALAM

Mutiara Iman Edisi 762 ( Tidak Perlu Kita Sedih )

(EDISI 762)

MUTIARA IMAN:

TIDAK PERLU KITA SEDIH

اللهم إنا نعوذبك من الهم والحزن

“YA ALLAH YA Tuhan kami, kami berlindung daripadamu dari rasa sedih dan gelisah” ( Riwayat Abu Daud)

Ulasan Hadis:

1.        Mengapa kita perlu bersedih dengan kekecewaan kita terhadap dunia dan makhluk? Sedangkan ianya sedikitpun tidak memberi sebarang kesan kepada kita ketika di akhirat nanti.

2.        Manusia semuanya memahami bahawa umur dunia itu singkat, harta dunia sangat sedikit, perubahan dunia dan perlakuan seluruh isi dunia termasuk makhluknya berubah dari masa ke semasa, pergerakkan yang berlaku tidak pernah berhenti walaupun sedetik.

3.        Oleh itu, mengapa kita harus bersedih, jika hari ini kita tenang lalu bertukar merasa resah, jika hati sedang bahagia lalu berubah sedih, dari merasa senang bertukar susah, begitu jua sebaliknya. Keadaan ini adalah putaran dan mainan sementara sahaja, sedikitpun tidak seharusnya menjadikan kita seorang yang berputus asa dengan keburukan menimpa ataupun berbangga dengan kebaikan mendatang, kerana semuanya hanyalah ujian yang sangat bersifat sebentar untuk memberi jaminan yang pasti diakhirat kelak.

4.        Andai kita sibuk memikirkan apa yang sedang kita hajati samada ianya sesuatu yang gembira mahupun duka lebih daripada apa yang ALLAH hajati daripada kita, nescaya gelaplah hati kita, butalah mata kita, lemahlah iman kita, resahlah jiwa kita sehinggalah kita berjaya mengecilkan kehendak kita lalu membesarkan apa yang ALLAH kehendaki.

5.        Kalau pada hari ini jika di dunia kita sibuk dengan diri, nescaya di akhirat nanti kita akan sibuk dengan diri, tetapi jika hari ini kita sibuk dengan ALLAH, maka di sana kelak, kita akan sibuk dengan ALLAH.

6.        Sibuk dengan ALLAH- Sentiasa menyibukkan diri dan urusan, amalan yang mendekatkan diri kepada ALLAH, seperti beribadah, bersedekah, berdakwah dan sebagainya.

7.        Tidak perlu kita bersedih lagi, bertindaklah, bermulalah, berazamlah untuk beramal, berdakwah dan bersiap sedia sebelum terlambat. Wahai ALLAH, jangan jadikan hati kami sedih kerana cintakan dunia dan bencikan kematian. WALLAHU’ALAM.

Mutiara Iman Edisi 760 ( Kebahgiaan Dalam Kerja )

(EDISI 760)

MUTIARA IMAN:

KEBAHGIAAN DALAM KERJA

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud : "Katakan Muhammad! Bekerjalah, akan dilihat (dinilai)  oleh ALLAH hasil kerjamu itu, dan oleh Rasul dan oleh orang yang beriman

)Surah Taubah : 106)

Ulasan Ayat:

  1. Kebahagiaan kita bergantung kepada sejauh mana kita mencintai urusan pekerjaan kita dalam seharian, tidak kiralah ianya urusan ibadah khusus ataupun sebaliknya.
  2. Sekiranya umur seseorang itu dipanjangkan Allah swt sehingga mencecah 63 tahun, maka majoritinya mereka menggunakan tiga puluh tahun atau lebih untuk bekerja iaitu selama lapan jam sehari. Oleh yang demikian adalah salah sekiranya kita berpegang kepada hakikat bahawa pekerjaan merupakan beban yang diberikan oleh Allah swt kepada manusia. Ianya adalah peluang untuk kita menjana ganjaran pahala dari Allah swt sekiranya pekerjaan tersebut menepati prinsip-prinsip Islam.
  3. Terdapat bukti yang jelas bahawa manusia memerlukan pekerjaan, malah pekerjaan merupakan salah satu aktiviti yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Sejak dari Nabi Adam as hingga ke zaman kini, manusia menjadikan pekerjaan sebagai sebahagian besar daripada pusingan hidup mereka. Sememangnya pekerjaan menjadi gelanggang tempat manusia berjuang dan bersaing sebagai salah satu proses memajukan diri dan menyambung usia dalam kehidupan.
  4. Islam menekankan bahawa pengendalian sesuatu kerja sama ada kecil atau besar, berat atau ringan mestilah meletakkan ALLAH RABBUL ALAMIIN sebagai asas kesempurnaan. Ini berasaskan kepada kehendak semulajadi insan itu sendiri seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud : "Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk (menyembah) beribadah kepadaku.
  5. Cinta kepada setiap urusan pula bergantung kepada sejauhmana kita meletakkan niat untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan itu, apalagi jika kita melakukan sesuatu yang ALLAH amanahkan.
  6. Penegasan Islam tentang pentingnya pekerjaan dapat dilihat dalam al-Quran dan Hadith-hadith Rasulullah SAW yang akan dijadikan landasan perbincangan dalam bab ini. Menurut penjelasan Sunnah Rasulullah SAW bahawa kesemua para Nabi biarpun tinggi darjat mereka, mereka telah menjadikan pekerjaan sebagai landasan hidup masing-masing. Nabi Adam AS telah mengambil bahagian dalam pertanian, Nabi Nuh dalam perniagaan, Nabi Daud dalam pertukangan besi, Nabi Musa dalam penulisan, Nabi Zakaria sebagai seorang tukang kayu dan begitulah juga para Nabi selain mereka.
  7. Islam mewajibkan setiap muslim bekerja untuk menghasilkan manfaat pada dirinya sendiri dan masyarakat. Walaupun kita merasa susah dan berat untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan itu, tetapi jika perlaksanaannya dilakukan kerana ALLAH, maka kita akan melakukannya dengan senang hati. WALLAHU’ALAM

Mutiara Iman Edisi 576 (Qanaah -Merasa cukup)

(EDISI 576)


MUTIARA IMAN:

QANAAH (MERASA CUKUP)

ياأيها الناس أنتم الفقرآء إلى الله والله هو الغنى الحميد

Firman ALLAH SWT:
“ Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan ALLAH, dan ALLAH DIAlah Yang Maha Kaya(tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji.”
(Surah Fathir ayat 15)

Ulasan  Ayat :

1.        Ayat di atas adalah ayat yang menyatakan bahawa “Kita semua adalah manusia yang faqir (perlu kepada ALLAH), merasa cukup dengan ALLAH dan pemberianNya.

2.        Barangsiapa yang diberikan sifat qanaah oleh ALLAH, maka sesungguhnya ALLAH menginginkan kebaikkan bagi dirinya, kerana dengan sifat qanaah seseorang itu telah menyelamatkan dirinya daripada kehinaan menggemis, dan dapat memelihara serta menjaga kehormatannya daripada mengharapkan sesuatu pertolongan selain ALLAH

3.        Barangsiapa yang mengiginkan harta, maka ia bekerja dengan cara yang halal dan menghilangkan sikap malas, kerana sesuap nasi yang paling nikmat ialah adalah hasil daripada keringat sendiri. Manakala wang yang paling baik ialah wang yang dihasilkan dari jerih payah sendiri.

4.        Betapa indahnya pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang hamba demi untuk mengcukupkan keperluan dan orang-orang tersayang di bawah tanggungannya. Ini kerana bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga merupakan satu bentuk ibadah yang sangat mulia apabila disertai dengan niat yang baik dan benar, terutamanya apabila kewangan yang diperolehi dikelolakan secara baik, tidak membazir dan tidaklah pula terlalu berjimat, malah redha dengan yang sedikit, di atur cara kehidupan yang bersederhana, mengikut keadaan sewajarnya dan mengcukupi.

5.        Kekayaan yang hakiki adalah kekayaan hati, dan ketahuilah bahawa semiskin-miskin manusia adalah yang menjadikan rasa perlunya pada manusia.WALLAHU’ALAM.