Tuesday, August 3, 2010

Mutiara Iman Edisi 772 ( Sabar Dengan Karenah Manusia )

(EDISI 772)

MUTIARA IMAN:

SABAR DENGAN KARENAH MANUSIA

قال صلى الله عليه وسلم: (المسلم إذا كان مخالطًا الناس ويصبر على أذاهم، خير من المسلم الذي لا يخالط الناس ولا يصبر على أذاهم) ( رواه الترمذي)


Sabda Rasulullah SAW : “ Seorang muslim apabila dalam pergaulan dia disakiti lalu dia sabar dengan perbuatan yang disakiti oleh manusia, lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bergaul dengan manusia TETAPI dia tidak sabar dengan perbuatan yang disakiti oleh mereka.” ( Riwayat Imam Tarmizi )


Ulasan Hadis:
1.        Imam Al-Ghazali mendifinisikan akhlak sebagai 'satu tindakan atau perbuatan yang terbit daripada diri secara berterusan, dan perbuatan itu lahir dengan mudah tanpa memerlukan kepada proses berfikir'. Manakala Sheikh Dr. Fathi Yakan dalam sebuah buku karangannya bertajuk  Apa Ertinya Saya Menganut Islam, meletakkan 'akhlak yang mulia itu adalah objektif paling utama Islam' sejajar dengan apa yang diungkapkan oleh Baginda Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan oleh ALLAH SWT untuk menyempurnakan akhlak yang mulia" 

2.        Sebagai seorang muslim, khususnya petugas-petugas di dalam institusi sebuah syarikat yang mengamalkan cara hidup Islam atau dimana sahaja, hendaklah mengambil berat masalah akhlak. Lebih-lebih lagi akhlak sesama rakan sekerja.

3.        Setiap muslim mengharapkan dan berusaha untuk memperbaiki diri dan akhlak sebagai seorang hamba, namun setiap muslim yang berusaha untuk menjadikan diri terbaik di sisi ALLAH dalam segala sudut pasti akan diuji. Dan ujian yang selalu menimpa ialah ujian dalam pergaulan, oleh kerana kita tidak dapat lari daripada manusia dan muamalah, maka kita sering diuji dengan saudara kita sendiri.

4.        Antaranya, kita akan berhadapan dengan mereka yang suka mencari dan mengambil kesempatan terhadap kebaikan kita, kemahiran, ataupun kelemahan mahupun kekurangan. Adakalanya, kita mengalah dan ada masanya kita melatah dan akhirnya hilanglah pertimbangan sehingga kita merasa lemah, tidak sabar dan berputus asa.
 
5.        Sudah semestinya kita tidak akan pernah terlepas daripada ujian akhlak dan tindakan daripada saudara kita mahupun diri kita sendiri. Namun apa yang penting, jika kita tidak dilayan dengan baik, tidak dihormati, jangan kita menyalahkan orang lain. 

6.        Justeru bersabarlah dan hadapkanlah perkara ini kepada DIA, bahawasanya DIA sedang menguji sejauhmana kesabaran dan keihklasan hati kita dalam menuntut kebaikan, mereka adalah penyebab utama dalam menambah ganjaran pahala buat kita, dan sepatutnya kita ucapkanlah terima kasih kepada mereka atau berikanlah hadiah. Sepertimana yang berlaku pada SAIDINA ALI : Apabila disakiti oleh manusia, maka dia akan memberi hadiah kepada mereka, kerana mereka telah memberi pahala kepadanya.

7.        Jadikan apa yang berlaku disekeliling kita adalah punca dan eset utama untuk kita meraih kebaikan di akhirat. Jangan pernah memperdulikan kesulitan di dunia yang sementara apatah lagi kesulitan yang datang daripada makhluk. Letakkan ALLAH sebagai matlamat agar hilanglah segala bebanan dan kesulitan.

8.        Berjuanglah demi mendapatkan sebuah budi pekerti yang mulia, sesungguhnya mereka yang paling baik adalah mereka yang paling mulia akhlaknya. WALLAHU’ALAM 

Wednesday, March 10, 2010

Mutiara Iman Edisi 770 ( Kemanisan Iman )


(EDISI 770)

MUTIARA IMAN:

KEMANISAN IMAN

عن عباس ابن عبد المطلب رضى الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ذاق طعم الإيمان من رضي بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد رسولا
(رواه مسلم)
Daripada Al Abbas bin Abd Mutallib RA, Rasulullah SAW bersabda : Siapa yang reda dengan ALLAH sebagai Tuhan, ISLAM sebagai agama dan MUHAMMAD sebagai Rasul, maka dia dapat merasa dan manikmati kemanisan iman .”
 ( Riwayat Muslim)


Ulasan Hadis:
1.        Hadis ini dipetik daripada kitab Al Iman. Di dalam hadis ini ia menggambarkan betapa indahnya sifat iman. 

2.        Iman dari segi bahasa adalah percaya dan membenarkan. Manakala Iman menurut istilah syarak ialah : Percaya dan membenarkan dengan hati, melaksanakannya dengan perbuatan dan menuturkan dengan lisan terhadap segala yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW. 

3.        Iman menurut Ahlussunnah wal jama’ah adalah keyakinan dengan hati pengikraran dengan lisan serta pengamalan dengan anggota badan. Iman bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan perbuatan maksiat.
 
4.        Jadi Iman terdiri dari tiga bagian: Pertama keyakinan hati dan amalan hati yakni keyakinan dan pembenaran terhadap apa yang datang dari  dan RasulNya. Amalan hati di antaranya adalah niat yang benar ikhlas cinta tunduk kepada ALLAH dan RASUL. Kedua ikrar lisan dan amalan lisan . Ikrar lisan iaitu mengucapkan dua kalimat syahadat dan mengakui dari kedua kalimat Syahadah. Ketiga amalan anggota badan iaitu sesuatu amalan yang terlaksana dengan anggota badan seperti rukuk sujud jihad haji dan lain-lain. 

5.        Keimanan tidak mampu dikecapi kemanisannya jika manusia hanya mengakuinya melalui lisan tanpa membuktikannya melalui perbuatan. Oleh itu, pada hari ini betapa ramai ummat islam yang hanya mengaku beriman tetapi masih lagi menentang dan tidak mahu menuruti segala ajaran Islam. 

6.        Beruntunglah bagi mereka yang benar-benar beriman, malah berbahagialah mereka yang mengecapi kemanisan iman, kerana nikmat keimanan tidak mampu ditukar ganti dengan segala sesuatu yang ada di dunia ini. Sesungguhnya Iman merupakan hiburan dan kegirangan yang tidak terperi bagi orang-orang yang merasai kemanisannya.WALLAHU’ALAM

Friday, March 5, 2010

Mutiara Iman Edisi 769 ( Gopoh-Gapah Sifat Syaitan )


 (EDISI 769)

MUTIARA IMAN:

GOPOH-GAPAH SIFAT SYAITAN

عن سهل بن سعد رضى الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : العجلة من الشيطان
 ( رواه الترمذى)
Daripada Sahl Bin Sa’ad RA, Rasulullah SAW bersabda : “ Gopoh-gapah itu merupakan sifat syaitan.”
(Riwayat Tirmizi)

Ulasan Hadis:
1.        Melalui hadis ini Nabi SAW menjelaskan kepada kita bahawa sikap gopoh gapah atau tergesa-gesa, terburu-buru adalah daripada sifat syaitan. 

2.        Sifat bergopoh-gapah adalah sifat yang buruk, sikap ini berlaku apabila seseorang itu berada dalam beberapa keadaan, iaitu tidak sabar, tamak, tidak mahu berfikir panjang, menanguh kerja dan bertindak kerana mengikut nafsu. 

3.        Orang yang memiliki sikap ini kebiasaannya mereka yang tiada ketenangan dalam diri. Dan sifat ini berlawanan dengan sifat orang yang bertenang dalam melakukan sesuatu urusan, mereka ini bertindak setelah berfikir dan mengkaji terlebih dahulu malah memikirkan akibat baik dan buruk sesuatu perkara atau tindakannya. 

4.        Sikap gopoh gapah akan melahirkan penyesalan di kemudian hari. Berkata Syeikh Muhammad Soleh Al Uthmaimin : Sifat tenang yakni tidak bergopoh –gapah dalam semua urusan, betapa ramai manusia yang binasa dan tersilap langkah dengan sebab gopoh-gapah dalam urusan hidup mereka. Sama ada memindahkan berita, menghukum apa yang di dengar atau berita lain-lain. 

5.        Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Sesungguhnya sesiapa yang memiliki dua sifat, nescaya dikasihi oleh ALLAH iaitu lemah lembut dan tenang.” ( Riwayat Muslim). 

6.        Justeru itu, kita hendaklah sentiasa bersikap tenang dan berusaha mendidik diri agar tidak besikap tergesa-gesa, jangan terlalu cepat mengambil keputusan atau bertindak sehinggalah kita meneliti dan mempelajari terlebih dahulu sesuatu perkara. WALLAHU’ALAM

Wednesday, March 3, 2010

Mutiara Iman Edisi 767 ( Bekerja Bersama Pimpinan)



(EDISI 767)

MUTIARA IMAN:

BEKERJA BERSAMA PIMPINAN
Sabda Rasulullah S.A.W. :
Maksudnya : Tiada seorang ketua yang memimpin orang bawahannya dari kalangan Muslimin kemudian dia tidak berusaha bersungguh untuk kebajikan mereka dan tidak memberi nasihat (kepada Islam), kecuali pemimpin ini tidak memasuki syurga
(Riwayat Muslim)

Ulasan Hadis: 

1.        Hadis di atas menerangkan mengenai peranan yang perlu dimainkan seseorang pemimpin terhadap orang yang berada di bawahnya atau di dalam tanggungannya. 

2.        Mereka bukan sekadar memimpin sebagai ketua organisasi atau ketua keluarga, malah lebih penting lagi adalah bersungguh dalam memberikan nasihat dan membimbing orang bawahannya kepada ajaran Islam yang sebenar. 

3.        Dinyatakan bahawa orang yang tidak memimpin anak buahnya ke arah jalan yang diredhai Allah, tempatnya nanti bukan di syurga malah sebaliknya. 

4.        Namun begitu, tugas menasihati antara satu sama lain tidak perlu diterhad dan dibebankan di atas bahu pemimpin semata-mata. Sebagai warga kerja dan ahli keluarga yang bertanggungjawab dan memahami tuntutan  serta kehendak agama, seharusnya peranan seperti ini dipikul bersama  agar ia memberikan natijah yang lebih baik daripada melaksanakannya secara bersendirian.

5.         Pemimpin yang baik dijanjikan Allah swt sebagai VVIP di Mahsyar iaitu bernaung dibawah lindungan bayangan arasy Allah swt di mana hari yang tidak ada bayangan (akhirat) kecuali bayangan arash Allah. 

6.         Kita tidak mungkin mampu menjadi Rasul atau Nabi demi mendapatkan bayangan arasy Allah swt tetapi kita juga berpeluang untuk bersama para Rasul & Nabi salawatullah alahim ajma’in di bawah bayangan arasy Allah swt dengan menjadi pemimpin yang baik. Marilah kita semua merebut peluang ini kerana kita semua adalah pemimpin.